Exam / Temuduga

Exam online SPA, Panduan Temuduga SPA dan Tips Kerjaya Terbaru

Pengarah Kastam Perak di Tahan.

Pengarah Kastam Negeri Perak, Datuk Mohd. Nasir Said antara lapan pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM547,000, sejak dua tahun lalu.
Mohd. Nasir didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lapan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM80,000 sementara tujuh pegawai lagi dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 98 pertuduhan membabitkan jumlah rasuah RM467,000.

Setiap tertuduh berhadapan antara lapan hingga 52 pertuduhan menerima suapan berupa wang perlindungan secara bulanan antara RM500 dan RM130,000, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 106 pertuduhan.

pengarah kastam

Tujuh lagi pegawai terbabit ialah Penolong Kanan Pengarah Kastam cawangan Risikan, Ibu Pejabat Kastam Putrajaya, Datuk Saad Ishak, 57; Penolong Kanan Pengarah Kastam 1, Cawangan Siasatan Khas (Bahagian Penguatkuasaan), Ibu Pejabat JKDM Dengkil, Mohd. Arifin Zakaria, 57; dan Pegawai Kastam Kanan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Azlee Mohamed Yusof, 48.

Turut didakwa ialah Penolong Kanan Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan Kastam Negeri Selangor, Sohaizan Othman, 41; Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan WPKL, Abd. Razak Basri, 55; Penolong Kanan Pengarah Kastam II Bahagian Penguatkuasaan WPKL, Abdul Ghafar Mohamad, 46; dan Pegawai Kastam Kanan Bahagian Penguatkuasaan WPKL, Hizam Abd. Ghani, 56.


Mereka adalah antara yang ditahan dalam satu operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 September lalu atas pertuduhan menerima rasuah supaya tidak mengambil tindakan terhadap individu yang membawa keluar barangan yang tidak dikenakan cukai eksais dari Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masingmasing.
Mohd. Nasir, 58 didakwa atas lapan tuduhan menerima suapan berjumlah RM80,000 daripada dua warga tempatan sebagai dorongan supaya tertuduh tidak mengambil tindakan atau menggunakan pengaruhnya agar tindakan tidak diambil terhadap ke duadua individu itu atau syarikat yang mereka mempunyai kepentingan bagi kesalahan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 melibatkan barangan tidak bercukai, arak.

Dia yang pernah menjadi Pengarah Kastam Negeri Melaka didakwa melakukan perbuatan itu di antara Oktober 2012 dan Julai lalu di pasar raya besar Tesco, Taman Midah, Cheras di sini.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang tinggi.

Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memerintah tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Anthony Kevin Morais sementara tertuduh diwakili peguam Che Azmi Che Omar.
Terdahulu, Che Azmi memohon mahkamah membenarkan tertuduh yang mempunyai enam anak yang kesemuanya masih bersekolah, diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kesemua harta termasuk akaun bank anak guam serta isterinya telah dibekukan.

"Anak guam saya telah berkhidmat dengan Kastam selama 34 tahun dan akan bersara dalam tempoh satu tahun empat bulan lagi," katanya.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Oktober ini.
Sementara di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Saad didakwa atas sembilan pertuduhan, Mohd. Arifin (satu pertuduhan), Azlee (lima pertuduhan), Sohaizan (satu pertuduhan), Abd. Razak (11 pertuduhan), Abdul Ghafar (19 pertuduhan), dan Hizam (52 pertuduhan).
Mengikut pertuduhan, Saad didakwa menerima wang bayaran bulanan berjumlah RM29,000, Mohd. Ariffin (RM2,000), Azlee (RM77,000), Sohaizan (RM1,000), Abd. Razak (RM22,000), Abdul Ghafar (RM38,000), dan Hizam (RM236,000).

Hizam turut didakwa menerima suapan bagi pihak Abdul Ghafar sebanyak RM40,000 dan bagi pihak Abd. Razak berjumlah RM22,000.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di antara awal 2012 dan Ogos lalu di beberapa lokasi antaranya di restoran makanan laut mewah, kawasan Rawat dan Rehat Awan Besar Lebuhraya Shah Alam dan tempat letak kenderaan pasar raya besar di Kelana Jaya di sini.
Rasuah tersebut adalah sebagai dorongan agar tiada tindakan undangundang diambil ke atas baranganbarang yang belum diluluskan oleh JKDM iaitu arak.

Pertuduhan ke atas mereka turut dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17 akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman serupa.
Kes dikendalikan oleh TimbalanTimbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar, Aida Adhha Abu Bakar dan Mohamed Heikal Ismail. Kesemua tertuduh diwakili oleh peguampeguam, Kamarul Hisham Kamaruddin, S. Devanandan, A. Komathi, Gabriel Susayan dan V. Rajadevan.

Hakim Datuk Noradidah Ahmad membenarkan setiap tertuduh dibebaskan dengan jaminan antara RM5,000 dan RM40,000 berserta seorang penjamin serta diperintah menyerahkan pasport dan dokumen perjalanan yang lain kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Kes ditetapkan untuk sebutan pada 30 Oktober ini.

Sementara itu, seramai empat lagi pegawai Kastam akan didakwa pada Isnin ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta dan permohonan agar kesemua tertuduh dibicarakan bersama juga akan dibuat oleh pihak pendakwaan pada hari tersebut.




0 Komentar untuk "Pengarah Kastam Perak di Tahan."

 
Copyright © 2016 Exam / Temuduga - All Rights Reserved
Template By Catatan Info